Friday, April 3, 2015

Tekanan Emosi dalam Kalangan Murid

Pengenalan
Emosi merupakan salah satu unsur yang memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga merupakan salah satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberikan kesan-kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis, “emotion”, dan “émouvoir” yang bermaksud ‘kegembiraan’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain.
Bruno (1984) pula mendefinisikan emosi sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan. Oleh itu, beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan homeostasisnya terganggu dengan pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang-kadang kesihatan individu yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas.
Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002) mendefinisikan gangguan emosi sebagai kesan konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.
Sebagai seorang guru, tahap kesediaan murid untuk belajar haruslah dipantau agar emosi murid tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk belajar. Pendidikan pada masa kini bukan sahaja mementingkan pencapaian di dalam ujian dan peperiksaan, malah setiap aspek perlu diberi perhatian. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyeru para pendidik untuk memperkembangkan potensi individu iaitu murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial.
Dewan Siswa (2012) melaporkan bahawa berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri. Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal. Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.
Memang tidak dinafikan bahawa zaman remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa yang cenderung untuk memberontak. Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun. Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada orang dewasa dan remaja. Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan emosinya.
 
Jenis-Jenis Gangguan Emosi
Gangguan emosi ini dapat dikategorikan dalam tiga jenis iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Gangguan ini berlaku sama ada secara ringan di mana gangguan tersebut boleh ditangani atau gangguan yang terlalu kuat misalnya terlalu sedih sehingga mencederakan diri sendiri. Murid yang mengalami gangguan emosi, mampu memberikan kesan negatif kepada pencapaian akademiknya. Hal ini mampu menjejaskan hubungan murid dengan orang lain dan keupayaannya belajar.
 
Gangguan Emosi Ringan
Kebiasaannya gangguan seperti ini tidak terlalu kelihatan ciri-cirinya dari luar. Gangguan emosi yang ringan selalunya boleh diatasi sendiri oleh murid tersebut. Tetapi, jika diamati secara mendalam, gangguan emosi yang dialami oleh murid ini kian terserlah kerana kadang-kala masalah yang dihadapi masih kurang sesuai dengan tahap tumbesaran mereka. Walau bagaimanapun, mereka masih mampu untuk mengatasinya dengan baik seterusnya tidak menjejaskan emosi mereka secara mendalam. Sebagai contoh, naluri seorang kanak-kanak untuk berkawan dan bermain bersama adalah tinggi, tetapi kadang kala apabila tercetusnya konflik di mana mereka perlu berkongsi alat permainan atau perkakasan belajar, emosi mereka serba sedikit terganggu dan mereka mampu mengatasinya dengan baik.
 
Gangguan Emosi Sederhana
Gangguan emosi jenis ini jika diamati, lebih jelas kelihatan berbanding dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi fizikal seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut seperti marah, takut, sedih dan sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja dan merupakan sesuatu yang normal bagi kanak-kanak lain. Penentangan yang ditunjukkan pada kali ini adalah lebih kuat berbanding dengan gangguan emosi jenis ringan sehingga menyebabkan mereka melahirkannya dengan menggunakan pelbagai cara seperti menangis. Sebagai contoh, guru mengarahkan murid untuk menyertai kumpulan yang telah ditetapkan, tetapi murid tersebut enggan menyertai kumpulan tersebut lalu menangis bagi menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan yang dilakukan oleh gurunya.
 
Gangguan Emosi Berat
Bagi gangguan emosi jenis berat pula, dari segi fizikalnya, memang dapat dilihat dengan begitu jelas sekali bahawa murid tersebut sedang mengalami gangguan emosi kerana tingkah laku murid kelihatan agak pelik berbanding tingkah laku sehariannya. Gngguan emosi jenis ini agak bahaya kerana mampu mengundang bahaya apabila murid tersebut akan melakukan percubaan untuk mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri. Apabila murid tersebut tidak dapat mengawal emosinya, kadang-kala tindakannya akan berlebih-lebihan seperti menjerit-jerit dan menghentak-hentakkan kaki atau anggota bandannya sehingga mendatangkan kecederaan. Sebagai contoh, apabila murid tersebut terlalu marah kepada rakannya, mereka akan cenderung untuk bergaduh dan mencederakan satu sama lain bagi memuaskan hati mereka. Jika perlakuaan seperti ini tidak dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses pembelajarannya.
 
Punca Tekanan Emosi Pelajar
Terdapat beberapa puca ataupun faktor yang boleh menyebabkan tekanan emosi ini berlaku dalam kalangan pelajar. Antaranya termasuklah faktor ibu bapa, faktor persekitaran, keinginan melebihi kemampuan, intrapersonal dan punca sosial,
 
Faktor ibu bapa
Ibu bapa merupakan salah satu punca tekanan emosi berlaku dalam kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa mahukan anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam pendidikan sebagai jaminan mendapat kerjaya yang baik pada masa hadapan. Ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka berjaya dalam bidang pendidikan perlu mengikut landasan yang betul dalam setiap langkah dan tindakan dan bukannya mengenakan sesuatu peraturan tanpa rasional. Penggunaan peraturan tanpa rasional dan meletakkan harapan yang tidak realistik terhadap pencapaian anak-anak akan memberi tekanan kepada anak-anak. Sekiranya harapan yang diletakkan ibu bapa tidak dapat dicapai oleh anak - anak, ini akan menyebabkan anak-anak mengalami tekanan yang teruk sehingga boleh menyebabkan trauma.
 Selain itu, penceraian dalam kalangan ibu bapa juga menyebabkan anak- anak mereka akan mengalami tekanan. Penceraian ibu bapa menyebabkan, kehidupan anak-anak terabai. Kadang-kadang berlaku juga di mana anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Hal ini akan menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan kurang mendapat kasih sayang sehingga menyebabkan anak-anak mengalami tekanan perasaan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa menjadi salah satu punca kepada tekanan yang dialami oleh pelajar.
 
Punca Persekitaran
Pelajar akan mengalami pelbagai perubahan persekitaran dalam hidupan seharian mereka bergelar pelajar. Contohnya mereka akan mengalami perubahan gaya hidup dari peringkat menengah kepada peringkat institusi pengajian tinggi. Mereka akan mengalami tekanan jika tidak dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan besar bergelar mahasiswa universiti seperti untuk mendapat keputusan yang cemerlang mereka perlu berusaha sendiri tanpa bantuan. Selain itu, sistem penentuan gred bagi setiap subjek tidak hanya bergantung kepada markah dalam perperiksaan akhir semata-mata, inilah yang menjadi pembaharuan besar bagi pelajar yang memasuki alam kampus. Tambahan pula, mereka akan mengalami tekanan kerana dibebani dengan pelbagai tugasan yang diberikan oleh pensyarah, pada masa yang sama mereka perlu mengulangkaji pelajaran bagi setiap subjek untuk menghadapi ujian dan kuiz. Hal ini menunjukkan bahawa persekitaran juga menjadi punca tekanan pelajar.
 
Keinginan yang melebihi kemampuan
Selain itu, keinginan yang melebihi kemampuan juga menyebabkan tekanan dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar mempunyai keinginan yang sangat tinggi yang ingin dicapai. Bagi pelajar yang pintar adalah mudah bagi mereka untuk mencapai cita-cita mereka. Ada di antara pelajar yang mempunyai cita-cita yang terlalu tinggi dibandingkan dengan kemampuan mereka.Walaubagaimanapun jika direnungkan bagaimana pula dengan keadaan yang kurang berkemampuan jawapannya sudah tentu mereka tertinggal di belakang. Mereka akan mempunyai satu sifat "inferior" di dalam diri mereka. Apabila mereka tidak dapat mencapai apa yang mereka cita-citakan mereka yang berasa sangat tertekan.
Punca Intrapersonal
Salah satu faktor tekanan pelajar ialah kurangnya kecerdasan intrapersonal. Kecerdasan intrapersonal merujuk kepada kecerdasan seseorang yang mampu memahami diri sendiri, mengetahui kelemahan yang ada pada dirinya sendiri. Kebiasaannya, pelajar masa ini lebih cenderung berfikiran negatif. terdapat 3 konsep diri negatif yang diamalkan oleh pelajar iaitu:
a)    Tidak yakin dengan kemampuan diri untuk mengatasi masalah.
b)    Tidak merasa setara dengan orang lain.
c)    malu menerima pujian dan kritikan.
 
Punca Sosial
Persekitaran sosial merupakan salah satu penyumbang utama kepada berlakunya tekanan dalam kalangan pelajar hari ini. Pergaulan bebas antara pelajar lelaki dan perempuan menyebabkan mereka mudah terjebak dalam gejala sosial seperti pembuangan bayi, pelacuran, 'mat rempit', dan banyak lagi. Kesannya, mereka yang terlibat ini akan mengalami tekanan kerana tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Sebagai contoh, seorang pelajar perempuan yang telah mengandungkan anak teman lelakinya akan berasa tertekan kerana malu dan takut kepada masyarakat sekeliling. Tambahan pula apabila teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Hal ini menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dan lari dari rumah, seterusnya para pelajar tersebut mengabaikan pelajaran kerana terlalu tertekan akibat masalah yang dihadapinya. Sesungguhnya, gejala sosial yang semakin berleluasa menyebabkan para pelajar mengalami tekanan dalam diri mereka.
 
Langkah-langkah mengatasi masalah tekanan emosi murid
Terdapat beberapa kaedah ataupun langkah untuk mengatasi masalah tekanan emosi yang berlaku dalam kalangan pelajar.
 
Langkah Atasi Tekanan Dari Ibu Bapa
Keluarga yang mempunyai masalah atau konflik akan menyebabkan anak yang menjadi mangsa. Anak - anak akan berasa terpinggir dek kerana kurang kasih sayang. Oleh yang demikian, anak -anak ini dinasihati supaya berjumpa dengan para profesional serta mendapat sokongan emosi dari orang sekeliling. Hal ini sedikit debanyak dapat membantu para pelajar dari terus dibelenggu tekanan.
 
Langkah Mengatasi Punca Persekitaran
Bagi masalah tekanan emosi yang berpunca daripada faktor persekitaran pula, kaedah ataupun cara yang paling sesuai untuk mengatasinya adalah melalui aktiviti riadah. Riadah merupakan satu aktiviti yang dapat mengurangkan stres khususnya dalam kalangan pelajar. Aktiviti riadah seperti bersukan bukan sahaja dapat menjadikan fizikal lebih mantap malah organ dalaman serta sistem pernafasan kita juga dapat berjalan dengan lancer. Selain itu, riadah dari segi minda juga perlu bagi mengurangkan masalah stress. Antara riadah minda yang dapat kita lakukan ialah dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran, komik, novel dan segala bahan-bahan yang dapat menenangkan jiwa. Oleh itu, riadah merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian kita. Maka, luangkan sedikit masa untuk beriadah bagi mengelakkan stres dari membelenggu diri kita.
 
Langkah Atasi Punca Keinginan Melebihi Kemampuan
Bukannya semua insan dianugerahkan minda yang cerdik pandai sejak dilahirkan.Kita mestilah mengenalpasti had kemampuan kita.Apabila kita sedar sesuatu perkara yang kita lakukan di luar kemampuan,kita seharusnya berhenti melakukannya.Kita boleh meminta bantuan daripada orang yang labih layak dan mahir untuk menyempurnakann perkara tersebut.Tekanan pasti dapat atasi sekiranya kita tidak terlalu memaksa diri. Kita boleh menjalankan kegiatan yang tidak terlalu membebankan minda dan memberikan keseronokan supaya tekanan dapat diatasi.Oleh itu,janganlah kita terlalu membuang masa kepada perkara yang kita tidak lagi mampu ditanggung.
 
Langkah Mengatasi Tekanan dalam Kalangan Pelajar dari Sudut Interpersonal
Cara-cara pelajar mengatasi stress ialah pelajar boleh mengalih pandangan kepada situasi yang lebih tenang atau relaks. Sebagai contoh, pelajar boleh menyanyi ,menari,dan menjerit.Hal ini boleh membantu pelajar melepaskan stress sambil menyanyi tidak kira di dalam bilik air ataupun di mana sahaja tanpa mementingkan senikata lagu tersebut. Pelajar juga boleh menghilangkan stress dengan meluahkan perasaan kepada sahabat karib ataupun meluhkannya dalam diari. Pelajar mungkin melihat masalah itu terlalu berat, tetapi mungkin tidak pada sahabat karib. Meluahkan perasaan kepada sahabat dapat mengurangkan stress. Selain itu, stress juga boleh diatasi apabila pelajar melihat segala masalah itu dari segi positif. Misalnya, apabila pelajar menghadapi sesuatu masalah pelajar mestilah cuba berfikir secara positif dengan menerina masalah itu sebagai panduan atau hikmah dalam kehidupan pada masa akan datang. Disamping itu, pelajar juga boleh menetapkan semula matlamat atau keutamaan yang realistik dalam kehidupan seharian bagi menangani stress, Contohnya, bertindak mengikut keutamaan bagi mengelakkan pelajar tidak membuang masa dan melakukan sesuatu yang merugikan. Oleh itu, pelajar harus utamakan kerja yang lebih penting terlebih dahulu. Segala langkah yang disarankan ini pelajar boleh sentiasa praktiskannya bagi menghilangkan stress dan menjalani kehidupan seharian tanpa masalah.
Langkah Menangani Punca Sosial
Menjalankan kerja masyarakat dan kebajikan juga merupakan salah satu langkah bagi menangani masalah punca sosial. Remaja tersebut haruslah membiasakan diri dengan melakukan kerja-kerja masyarakat seperti aktiviti gotong-royong,mengikuti majlis keagamaan,menderma kepada masjid atau rumah anak-anak yatim dan sebagainya. Hal ini akan menjadikan remaja lebih dewasa dan tidak memikirkan kegiatan sosial. Selain itu,remaja juga patut meninjau keadaan orang yang kurang bernasib baik sama ada dari segi kewangan,pendidikan,kesihatan dan keluarga. Ini sekaligus akan dapat menyedarkan individu tersebut dari terus lalai dan hanyut dengan gejala sosial Oleh yang demikian,banyak langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.
 
Kesimpulan
Gangguan emosi adalah satu situasiyang menunjukkan satu atau lebih karasteristik oyang dialami oleh murid-murid. Emosi pelajar perlu dikekal atau dipertingkatkan dengan pengajaran guru agar lebih bersifat pembimbing di sisi. Guru juga perlu memahami emosi pelajar kerana perbezaan tingkah laku, sosial dan rohani dalam kalangan pelajar sememangnya berbeza antara satu sama lain.
 
Bibliografi
Ooi Yoon Phaik, (2002). Stress and Anxiety Among Engineering Students and Non Engineering Students at UTM. UTM : Tesis Sarjana.
 
Romas, J.A. and Sharma, M., (2004).  Practical Stress Management: A Comprehensive Workbook for Managing Health and Promoting Health. 3rd edition. Pearson : Benjamin Cummings.
 
Riggio, E.R., (2003).  Introduction to Industrial/Organizational Psychology. 4th edition. Prentice-Hall, New Jersey.
 
Romano, J.L., (1992). Psychoeducational Interventions for Stress Management & Well Being. Journal of Counseling & Development. 71: 199-202.  
 
Ross, S.E., Neibling, B.C. and Heckert, T.M., (1999). Sources of Stress Among College Students. College Student Journal.  http://www.findarticles.com.
 
Rowntree, D. (1981). Statistics Without Tears: A Primer for Non-Mathematicians. Penguin.
 
Shellenberger, R., Turner, J., Greeh, J. and Gooney, J.B., (1986). Health Changes: A Biofeedback and Stress Management Program. Clinical Biofeedback and Health. 9: 23-24. 
 
Towbes, L.C. and Cohen, L.H., (1996). Chronic Stress in the Lives of College Students: Scale Development and Perspective Prediction of Distress.  Journal of Youth & Adolescence.  25: 199-217.
 
 
http://adamira789.blogspot.com/2012/07/gangguan-emosi-dalam-kalangan-murid.html

No comments: